Di Malaysia, Aidiladha, atau lebih dikenali sebagai Hari Raya Haji, adalah salah satu perayaan penting dalam kalendar Islam yang disambut dengan meriah. Sambutan ini berlaku pada hari ke-10 bulan Zulhijjah dalam kalendar Islam, yang menandakan bahawa umat Islam yang berada di Mekah telah menyelesaikan ibadah haji mereka. Aidiladha juga dikenali sebagai Hari Raya Korban kerana umat Islam melakukan ibadah korban dengan menyembelih lembu, kambing, atau unta. Kebiasaannya, beberapa hari sebelum hari raya, rakyat Malaysia akan mula mempersiapkan diri untuk menymabut sambutan Aidiladha. Mereka akan membersihkan rumah, menghiasnya, dan menyediakan makanan khas untuk tetamu. Mereka juga mengambil peluang untuk meraikan hari yang mulia ini bersama keluarga dengan pulang ke kampung halaman mereka. Selain itu, Umat Islam di Malaysia akan melakukan solat sunat Aidiladha pada pagi hari raya di masjid atau surau yang berdekatan. Selepas solatnya, khutbah disampaikan kepada jemaah mengenai pengorbanan Nabi Ibrahim a.s. dan anaknya Nabi Ismail a.s., serta pengajaran yang boleh diambil daripada kisah mereka. Kehadiran umat Islam di masjid pada pagi Aidiladha menunjukkan semangat ukhwah sesama muslim. Seterusnya, Korban adalah salah satu acara utama sambutan Aidiladha. Orang Islam yang mempunyai wang akan membeli binatang untuk korban. Selalunya, penyembelihan dilakukan di masjid, surau, atau tempat yang telah ditetapkan. Kemudian, daging yang dikorbankan dibahagikan kepada tiga bahagian: satu untuk keluarga dan jiran, satu lagi untuk saudara-mara dan fakir miskin, dan satu lagi untuk diri sendiri. Tradisi ini menunjukkan kasih sayang dan kepedulian kepada orang lain, terutamanya mereka yang kurang bernasib baik.