Bahasa Arab sudah tentunya merupakan antara mata pelajaran yang agak digeruni oleh pelajar, tidak kira sekolah rendah atau menengah. Namun, terdapat cara sebenarnya yang kita boleh gunakan untuk menarik minat pelajar. 

Pertama sekali, kita perlu terlebih dahulu mengenali pelajar tersebut. Sebab, setiap pelajar memiliki kemampuan dan motivasi berbeza dalam pelajaran. Ada pelajar yang mudah sahaja menerima apa sahaja yang diajar oleh guru. Namun, ada juga yang sedikit lambat memahami atau mempelajari bahasa bukan minat utama mereka. 

Bagi mereka yang tidak berminat ataupun takut dengan bahasa Arab, cara pengajarannya perlu lebih perlahan di samping memberi peluang kepada pelajar untuk melalui satu persatu proses dalam pembelajaran bahasa Arab. Seperti contoh, kita boleh membiasakan pelajar tersebut dengan kemahiran membaca dahulu. Sehingga pelajar menjadi bersemangat dan timbul yakin diri mereka, kita boleh mengajar mereka untuk menghafal beberapa perkataan atau ayat pula. 

Bahan pengajaran perlu dipelbagaikan dan disesuaikan mengikut tahap pelajar tersebut. Ada pelajar yang gemar melihat grafik dan juga warna, jadi kita boleh berikan bahan bacaan yang berwarna-warni. Bagi mereka yang lebih tinggi tahapnya, mungkin bahan berdasarkan latihan tatabahasa atau membina ayat lebih digemari oleh mereka. 

Aktiviti dalam kelas juga perlu dipelbagaikan selain bertujuan mencapai objektif pembelajaran, kemahiran berbahasa itu perlu dipupuk dengan latihan-latihan yang berpatutan. Seperti contoh, kita boleh mengadakan giliran bagi pelajar untuk melakukan aktiviti hiwar berdasarkan teks dan dialog yang disediakan. Keadaan ini menjadikan pelajar itu mampu membina keyakinan diri di samping memudahkan pelajar mengingat beberapa perkataan atau ayat yang penting. 

Oleh itu, sebagai seorang pendidik, kita perlu melihat pelajar dan subjek yang diajar itu melalui sudut pandang yang lebih jelas dan dekat. Selain menjadikan pelajar itu faham dan tahu, pendidikan yang sebaiknya itu perlu menghargai setiap proses yang dijalani pelajar itu agar pelajar mempunyai asas yang kukuh bagi sesuatu ilmu atau kemahiran yang dipelajari.