Jika anda berpeluang untuk melancong ke Negara Arab, pasti anda akan terpegun dengan keunikan budaya dan masyarakat mereka. Selain mempunyai adat resam seperti pakaian, makanan dan cara bercakap yang pelbagai, orang Arab memiliki cara tersendiri dalam melayani tetamu dan mereka amat ramah.  

Jika anda bertemu orang Arab di Malaysia sekalipun, orang Arab akan melayani anda dengan sangat baik dan penuh hormat. Apatah lagi jika anda berbicara dengan bahasa mereka, tentu sekali mereka amat menghargai dan menyokong usaha anda untuk bertutur. 

Oleh sebab bahasa Arab adalah bahasa yang amat popular dan digunakan secara meluas di kebanyakan negara, tentu sekali ramai yang ingin mengetahui dengan lebih mendalam tentang bahasa Arab dan budaya Arab, betul kan? 

Baiklah, suka untuk penulis berkongsi tentang bahasa Arab standard dan juga dialek Arab. 

Bahasa Arab Standard Moden adalah bahasa Arab yang digunakan sebagai bahasa rasmi di negara-negara Arab sekarang. Jika anda berpeluang untuk belajar atau berziarah di mana-mana negara Arab, anda boleh menggunakan Bahasa Arab Standard Moden ini sebagai permulaan. Masyarakat setempat akan tahu yang anda adalah warga dari luar negara Arab. 

Tetapi, sekiranya anda ingin menetap lama di sana atau mencari pekerjaan di negara Arab atau dengan syarikat Arab di Malaysia, anda boleh perluaskan tahap bahasa Arab anda dengan memahami dialek Amiyah mereka atau bahasa pasar. 

Dialek Amiyah terbahagi kepada banyak pecahan, bergantung kepada kedudukan geografi pemilik dialek tersebut dan juga faktor sejarah dan sosio-budaya juga memainkan peranan. Antaranya adalah dialek Khalijiyyah atau negara teluk. Negara teluk ini terdiri daripada UAE, Qatar, Bahrain, Kuwait, sebahagian Timur Arab Saudi dan juga Oman. Di antara negara Teluk juga memiliki sedikit perbezaan kecil antara satu sama lain, juga perbezaan antara penduduk bandar dan penduduk luar bandar di sesetiap negara. 

Selain itu, bagi Arab Saudi, terdapat 2 lagi dialek yang popular iaitu dialek Hijaziyyah dan dialek Najdiyyah. Adapun, sebahagian masyarakat di negara Yaman juga ada yang menggunakan dialek Hijaziyyah-Najdiyyah ini. 

Kemudian, dialek Syamiyyah iaitu dialek yang dikongsi oleh penutur di Jordan, Lubnan, Palestin dan Syria. Kemudian, negara Mesir memiliki ciri-ciri yang hampir sama dengan negara-negara Syam tetapi sedikit berbeza dan dikelaskan sebagai dialek Mesir. 

Bagi negara Sudan dan Libya pula, dialek mereka seakan serupa dengan Mesir tetapi masih sedikit berbeza oleh kerana faktor geografi mereka yang sudah berada di Tengah Afrika dan sedikit jauh dari Semenanjung Tanah Arab. 

Akhir sekali, dialek Maghribi yang digunakan di negara Maghribi, Algeria dan Tunisia. Ketiga-tiga negara ini menerima pengaruh Perancis dan juga Amaazigh. Bagi Algeria dan Tunisia, mereka memiliki sebutan yang sedikit berbeza dengan Maghribi namun mereka masih mampu memahami antara satu sama lain. Bagi negara Mauritania dan Sahara Barat, mereka  menggunakan bahasa Arab Hassaniyyah. 

Begitulah, terdapat banyak dialek yang berbeza-beza bagi setiap orang Arab. Namun, jika anda seorang yang berminat dengan teks sastera ataupun pembacaan berita dalam bahasa Arab, anda boleh teruskan dengan mendalami Bahasa Arab Klasik dan Bahasa Arab Standard Moden. Sekiranya anda berminat dengan budaya Arab, maka anda boleh bermula dengan mempelajari dialek-dialek Arab tersebut.