Perkataan “merdeka” menurut Dewan Bahasa dan Pustaka bermaksud bebas, konteksnya bebas daripada penjajahan, kurungan dan naungan. Selain itu, ia juga membawa maksud berdiri sendiri, tidak bergantung pada yang lain. Seperti contoh, ayat “negara Malaysia sudah merdeka daripada penjajahan British semenjak 31 Ogos 1957”.
Banyak negara yang menyambut kemerdekaan negara masing-masing setiap tahun. Oleh kerana usaha bagi mencapai perkara tersebut dan juga pengorbanan yang harus dilakukan teramat banyak, termasuklah pengorbanan air mata, darah dan juga nyawa. Merdeka adalah perkara yang diimpikan oleh setiap mereka yang ditindas dan dinafikan hak mereka. Penulis berpendapat, selain kemerdekaan negara, setiap individu atau masyarakat itu sendiri memahami erti merdeka yang tersendiri.
Seperti contoh seorang Islam merasakan dirinya sudah merdeka apabila ia berjaya menyingkirkan tabiat buruk dan akhlak tercela yang mereka miliki. Ia bererti mereka hidup dengan wajah dan diri mereka yang baharu.
Bagi bangsa Melayu khususnya, kemerdekaan itu ada dua. Selain berjaya memerdekakan Tanah Melayu dan mengambil semula hak penjagaan negara kepada pemimpin tempatan, orang Melayu juga sudah sekian lama merdeka dari segi agama, dengan kata lain, biarpun dijajah berabad lamanya, agama Islam masih kukuh dalam masyarakat Melayu.
Begitu juga bagi bangsa Arab, kemerdekaan mereka walaupun masih ternafi dari segi pentadbiran wilayah seperti Palestin dan kestabilan politik seperti di negara-negara bergolak, nikmat Iman dan Islam itu masih tidak dapat dicabut dari sanubari bangsa Arab. Tetapi perjuangan sentiasa berterusan. Ayuhlah sama-sama rakyat di Malaysia yang menganut agama Islam untuk terus menyokong dan mendoakan pembebasan dan kemerdekaan Negara Palestin suatu hari nanti.
Bagaimana sambutan kemerdekaan anda pada tahun ini? Jom semarakkannya dengan mengibarkan Jalur Gemilang di samping menghayati makna merdeka dengan lebih baik.