Realistik atau tidak sebenarnya untuk kita menguasai bahasa Arab walaupun tidak belajar di negara Arab? Jawapannya, ia adalah realistik. 

Pada waktu dahulu, pelajar menganggap bahawa dengan belajar bahasa Arab di dalam Malaysia tidak mampu menjadikan kita mahir berbahasa Arab. Ia tentu sekali tidak benar. Ini dibuktikan apabila banyak wakil universiti dalam Malaysia mampu naik ke peringkat yang tinggi dalam pertandingan debat bahasa Arab di peringkat antarabangsa. Begitu juga pelajar di sekolah menengah juga mampu berdebat dan berhujah dengan baik dalam bahasa Arab.  

Tetapi, apakah teknik atau strategi belajar yang betul supaya kita dapat bertutur dengan baik? Sebelum berbincang tentang teknik, penting untuk kita ketahui dahulu komponen asas dalam bahasa Arab iaitu kosa kata (perbendaharaan kata/mufradat). Bahasa kita adalah bergantung kepada sebanyak mana perkataan yang kita miliki. Semakin banyak perkataan yang kita ketahui, semakin bagus tahap bahasa kita. Tapi tak semestinya kita perlu menunggu sehingga mempunyai perkataan yang cukup banyak untuk mula belajar bertutur. Mulakan sahaja dengan beberapa perkataan mudah yang kita ketahui, kemudian kembangkan ia dengan menambah perkataan-perkataan baharu sehingga bahasa kita menjadi lebih baik. 

Perkara kedua adalah uslub iaitu gaya bahasa. Selain mempunyai kosa kata yang banyak, pengetahuan tentang uslub juga amat penting dalam pembinaan ayat yang betul dan tepat. Kalau contoh bahasa Melayu, kita tidak boleh menggunakan kata kerja di hadapan. Contoh, “pergi Ali ke sekolah” tetapi dalam bahasa Arab kita boleh meletakkan kata kerja di hadapan seperti ذهب علي إلى المدرسة. Contoh lain berkenaan uslub adalah seperti ayat dalam bahasa Melayu “terserah kepada awak” tetapi dalam bahasa arab kita guna على راحتك. Apabila kita terjemah, ia bermaksud “atas kerehatan awak”, oleh sebab itu kita tak dapat faham ayat tersebut jika kita terjemah secara literal. Begitu juga dalam bahasa Inggeris, ayat “it’s up to you” bukan bermaksud “ia di atas awak” melainkan ia cumalah uslub sebenar yang digunakan untuk menyampaikan sesuatu makna. Kita juga tidak menterjemah ayat “terserah kepada awak” kepada ‘surrender’ di dalam bahasa Inggeris dan استسلام dalam bahasa Arab. 

Setelah berusaha menambah kosa kata dan mempelajari uslub ayat, akhir sekali tentunya kita memerlukan unsur spontan atau kelancaran bagi membolehkan kita dapat bertutur dengan baik. Spontan ini tidak boleh kita dapat melalui helaian-helaian buku, tetapi ia memerlukan latihan dan pengulangan terhadap empat kemahiran bahasa ini; mendengar, membaca, bercakap dan menulis. Boleh praktis berbahasa Arab dengan rakan-rakan walaupun bermula dengan perkara mudah. Melalui perbualan seharian mahupun perbincangan di WhatsApp (teks mahupun mesej suara). Begitu juga kita boleh kerap menonton video YouTube tentang ceramah, dokumentari, filem, drama mahupun berita dalam bahasa Arab. 

Penting untuk kita ketahui bahawa ketiga-tiga proses atau elemen ini (kosa kata, uslub dan spontan) perlu untuk diaplikasikan bersama. Antara cara yang boleh dilakukan dengan mudah adalah dengan mewujudkan suasasa bahasa Arab.  

Apakah suasana bahasa Arab ini? Menurut Ustaz Lutfi bin Hassan, suasana bahasa Arab adalah suasana pelajar atau sekumpulan manusia berbicara dalam bahasa Arab. Ia dapat melatih elemen spontan dalam berbahasa Arab, sekali gus aktiviti sebegini boleh menambah kosa kata dan pengetahuan uslub pelajar tersebut jika dilakukan secara kerap dan berulang-ulang.  

Program dan aktiviti “البيئة العربية” sebegini patut dianjurkan secara kerap oleh institusi yang menfokuskan bahasa Arab. Selain dapat membuang perasaan malu dan takut dalam kalangan pelajar, ia juga selari dengan saranan KPM agar institusi pendidikan mengamalkan pendekatan Abad Ke-21 yang mana mengutamakan pelajar untuk aktif dan belajar secara praktikal manakala guru atau pembimbing sebagai fasilitator. 

Selain itu, dengan memiliki kawan berbangsa Arab, sama ada secara berhadapan mahupun secara maya mampu menjadikan kita lebih yakin dan bersemangat untuk menambah baik bahasa Arab kita. Hal Ini kerana apabila pelajar cuba berkomunikasi atau menerangkan sesuatu kepada orang Arab, orang Arab tersebut boleh membantu mereka sekiranya terdapat kesalahan dan mereka sama sekali tidak akan mentertawakan pelajar Melayu yang berusaha mempelajari bahasa Arab tersebut.   

Dalam aktiviti menambah kosa kata pula, terdapat kajian yang menyatakan bahawa apabila pelajar menulis makna perkataan di bawah perkataan asal tersebut, ia dapat mengurangkan tahap ingatan pelajar akan makna tersebut. Oleh kerana, setiap kali pelajar membaca perkataan dalam bahasa Arab tersebut, mata pelajar akan tertumpu juga pada makna jadi pembelajaran kurang efektif kerana fokus dan perhatian pelajar sudah terpisah kepada dua bahasa.  

Oleh itu, dapat disimpulkan bahawa kita sememangnya mampu menguasai bahasa Arab walaupun hanya belajar di Malaysia. Dengan syarat kesemua elemen (kosa kata, uslub dan spontan) itu dapat kita perolehi dan tingkatkan dari semasa ke semasa. Begitu juga terdapat pelbagai bahan yang kita boleh dapatkan di media sosial, aplikasi dan laman sesawang tertentu pada ketika ini. Bidang bahasa Arab ini juga bukanlah khusus atau istimewa hanya kepada golongan guru ataupun ustaz sahaja, akan tetapi pelbagai sektor professional juga memerlukan mereka yang mahir berbahasa Arab seperti jurutera, doktor, ahli politik dan sebagainya. Selain dapat digunakan untuk memahami isi kandungan al-Quran dan membaca kitab Arab, bahasa Arab juga boleh digunakan ketika bercakap dengan penduduk tempatan sewaktu kita melancong di sana.