Bahasa Arab adalah bahasa rasmi di 22 negara dan digunakan oleh kira-kira 422 juta penutur asli dan penutur bukan asli. Kepentingan mempelajarinya tidak dinafikan lagi terutama bagi penutur di Malaysia dan Indonesia.  

Antara kepentingannya adalah kerana bahasa Arab itu kaya dengan budaya dan sejarah. Selain daripada mempelajari tatabahasa baharu, kita juga boleh mengetahui nilai atau tradisi masyarakat Arab. Selain itu, ia juga membuka peluang untuk berkomunikasi dengan komuniti Arab bagi pelbagai tujuan seperti kerjaya mahupun pendidikan.   

Pasaran kerja bagi bidang bahasa Arab ini begitu luas di peringkat tempatan dan juga global. Terdapat banyak bisnes dan organisasi yang menggunakan bahasa Arab. Begitu juga dalam bidang diplomasi, perhubungan antarabangsa, terjemahan, media, pelancongan, pengajaran dan tidak ketinggalan industri minyak dan gas.  

Selain itu, di Malaysia dan Indonesia khususnya, bahasa Arab digunakan untuk memahami agama Islam dengan lebih mendalam. Hal ini kerana kesemua sumber asas ilmu agama ini datangnya dari bahasa Arab. Sumber-sumber tersebut adalah Al-Quran, Hadith Nabawi, serta kitab-kitab karangan cendekiawan awal Islam. 

Selain itu juga, kemahiran berbahasa Arab membantu semasa kita berada di negara Arab seperti ketika melancong, ziarah ataupun ketika menunaikan Haji dan Umrah. Kemudahan untuk berkomunikasi dengan penduduk setempat membantu kita ketika hendak menaiki pengangkutan awam, membeli sesuatu di kedai dan sebagainya.  

Seiring dengan perubahan zaman, keperluan terhadap bahasa Arab tetap sama dan kini kita menggunakan media sosial dalam kehidupan seharian. Bagaimanakah media sosial dapat membantu kita dalam pembelajaran bahasa Arab? 

Sudah tentu melalui pelbagai akses pembelajaran dan kandungan percuma di Facebook, Instagram, Tiktok dan sebagainya. Di media sosial juga kita boleh membentuk komuniti khusus untuk belajar bahasa Arab, maka dengan itu ia akan menjadikan pembelajaran lebih seronok apabila kita saling berkongsi dan membantu pembelajar lain. 

Di media sosial juga kita boleh berinteraksi dengan penutur asli sebenar bahasa Arab. Pelbagai soalan berkenaan bahasa Arab boleh dilontarkan kepada mereka dan kita boleh melatih kemahiran bercakap dan mendengar kita melalui fungsi audio di WhatsApp. Terdapat juga latihan interaktif seperti kuiz di laman web dan Instagram Story. Media sosial seperti Instagram juga khususnya membolehkan kita membangunkan portfolio digital kita untuk tujuan kerjaya mahupun pengajaran bahasa Arab. 

Untuk memaksimakan hasil pembelajaran di Instagram, para murid boleh mengikuti akaun yang bermanfaat sesuai dengan kegemaran mereka. Begitu juga murid dapat menggunakan fungsi ‘explore’ bagi melihat kandungan yang dikongsikan oleh akaun-akaun yang aktif dan berjaya. Selain itu, murid boleh berinteraksi dengan pembelajar bahasa Arab di seluruh dunia bagi membincangkan tentang bahasa. Murid boleh memanfaatkan sebaiknya kesemua fungsi di Instagram seperti Reels dan sebagainya bagi meningkatkan unsur lughah dan kemahiran bahasa Arab. 

Bagi para guru pula, mereka boleh mencipta akaun khusus untuk mengajar. Kemudian, akaun tersebut boleh ditambahbaik dengan mencantikkan ‘filter’ bagi ‘highlight story’ di akaun tersebut. Selain itu, boleh adakan sesi soal jawab dan beri tugasan melalui ‘story’, berkolaborasi dengan akaun lain bagi memaksimakan hasil pengajaran dan sebagainya. 

Namun harus diingatkan bahawa mempelajari bahasa Arab melalui satu platform sahaja tidak mencukupi. Perlu dipelbagaikan dengan media sosial berlainan seperti YouTube, Instagram, Tiktok, Telegram dan juga laman web khusus untuk pembelajaran formal dan tidak formal. Begitu juga pentingnya untuk belajar secara formal di sekolah-sekolah dan menggunakan buku.