Empat ilmu yang penting dalam Bahasa Arab, menurut Dr. Mohd Ikhwan bin Abdullah, terdiri daripada Ilmu Aswat, Ilmu Sorof, Ilmu Nahu dan Ilmu Balaghah. Apakah kesemua ilmu tersebut? Di bawah ini pihak Kalemon menghuraikan empat ilmu tersebut menurut pemerhatian Dr. Mohd Ikhwan bin Abdullah.  

Ilmu Aswat atau Fonologi membincangkan tentang suara, tempat keluar suara dan juga sifat huruf. Ia juga turut dikenali sebagai Ilmu Tajwid dalam pengajaran al-Quran. Perbezaan Ilmu Tajwid dan Ilmu Aswat adalah Ilmu Tajwid membantu kita membaca al-Quran dengan menepati hukum-hakam, makhraj dan sifat suara bagi setiap bacaan. Manakala dalam perbualan bahasa Arab sebenar tidak semua hukum Tajwid tersebut digunapakai. Seperti tiada hukum Ikhfa’ ketika mengucapkan “مَنْ أَنْتً؟”.  

Ilmu Sorof atau Morfologi pula adalah tentang perubahan perkataan asal kepada beberapa perkataan yang baharu untuk mewujudkan makna yang baharu. Terdapat pelbagai topik yang membahaskan perubahan-perubahan tersebut. Antara contoh, perubahan Masdar kepada Musytaqat. Seperti Isim الصِِّنَاعَة yang merupakan Masdar, diubah kepada perkataan seperti مَصْنُوع yang merupakan Isim Maf’ul, kemudian kepada صَانِع yang merupakan Isim Fa’il dan مَصْنَع yang merupakan Isim Makan. Begitu juga tentang perubahan kata kerja daripada Madhi kepada Mudhari’ dan Amr seperti contoh عَمِلَ – يَعْمَلُ – اعْمَلْ. Terdapat juga variasi berlainan untuk setiap kata kerja tersebut seperti contoh berikut: perkataan عَمِلَ bermaksud bekerja/berfungsi, kemudian jika ditambah hamzah, ia menjadi أَعْمَلَ yang membawa maksud memberi kerja/memberi fungsi. Jika diselangi alif di tengah, ia menjadi عَامَلَ yang bermaksud berinteraksi/muamalat. Perkataan  اسْتَعْمَلَ pula bermaksud melantik pekerja/menggunakan. Perkataan تَعَامَلَ bermaksud berinteraksi/saling bekerja. Begitu juga terdapat perubahan tertentu yang disebabkan kesukaran menyebut perkataan tersebut bagi orang Arab, seperti dalam topik الإعلال والإبدال. Contohnya, perkataan asal اصْتَبَرَ yang mengikut wazan (افْتَعَلَ) ditukar kepada اصْطَبَرَ bagi memudahkan untuk menyebutnya. 

Ilmu Nahu pula membicarakan perubahan keadaan akhir perkataan bahasa Arab. Umumnya, perkataan bahasa Arab dibahagikan kepada hukum Mu’rab dan hukum Mabni. Contoh hukum Mu’rab bagi Isim adalah; أَكَلَ زَيْدٌ، ضَرَبَ الْوَلَدُ زَيْدًا، سَلَّمْتُ عَلَى زَيدٍ. Kesemua baris akhir perkataan tersebut berubah mengikut kedudukan perkataan tersebut dalam ayat. Apabila ia berada di tempat Fa’il, ia menjadi Marfu’ dan dibaca dengan baris hadapan(زَيْدٌ), manakala jika perkataan tersebut berada pada kedudukan Maf’ul Bih, ia menjadi Mansub dan dibaca dengan baris atas(زَيْدًا), manakala jika berada dalam kedudukan Isim Majrur, ia membawa hukum Majrur dan dibaca dengan baris bawah(زَيْدٍ). Terdapat juga perubahan baris akhir pada Fiil Mudhari’ seperti contoh; يَأكُلُ زَيْدٌ، يُرِيدُ زَيْدٌ أَنْ يَأْكُلَ، لَمْ يَأْكُلْ زَيْدٌ. Perkataan Fi’il Mudhari’ tersebut berubah mengikut petanda yang hadir sebelum perkataan tersebut seperti Adat Nasbi(أَنْ يَأْكُلَ) atau Adat Jazmi(لَمْ يَأْكُلْ) atau tiada petanda(يَأْكُلُ). Hukum Mabni pula adalah perkataan yang tidak berubah baris akhirnya tidak kira diletakkan di mana-mana kedudukan di dalam ayat, seperti أَكَلَ هَؤُلَاءِ الطُّلَّابُ، رَأَيْتُ هَؤُلَاءِ الطُّلَّابَ، مَرَرْتُ بِهَؤُلَاءِ الطُّلَّابِ. 

Ilmu yang terakhir iaitu Ilmu Balaghah, merupakan Ilmu Retorik atau gaya berbahasa yang terdiri daripada Ilmu Bayan, Ilmu Maani dan Ilmu Badi’. Ilmu Bayan memberi penerangan tentang sesuatu perkataan tersebut dengan menggunakan beberapa kaedah seperti; Tasybih – أَنْتَ كَالْبَدْرُ, Isti’arah – تُصَلِِّي الْوَرْدَةُ فِي الْمَسْجِدِ, Majaz mursal – أَمْطَرَتْ السَّمَاءِ نَبَاتًا, Kinayah – هُوَ كَثِيرُ الرَّمَادِ. Kesemua contoh ini membawa maksud yang berbeza daripada apa yang zahir kita baca. Ayat أَنْتَ كَالْبَدْر membawa maksud “kamu” diumpamakan seperti bulan. Manakala ayat تُصَلِّي الْوَرْدَةُ فِي الْمَسْجِدِ tidak memberi maksud “bunga” itu yang solat melainkan orang yang sedang solat itu adalah bunga. Kemudian, ayat أَمْطَرَتْ السَّمَاءِ نَبَاتًا tidak membawa maksud hujan itu menurukan tumbuhan, melainkan hujan itu menurunkan air hujan yang menjadi sebab tumbuhnya pohon-pohon dan tumbuhan. Kemudian, ayat هُوَ كَثِيرُ الرَّمَادِ membawa maksud “dia banyak abu”, yang ingin menerangkan bahawa rumah yang banyak abu menandakan dia selalu memasak, yang membawa petanda bahawa dia selalu menerima tetamu dan bahawasanya dia adalah pemurah kerana selalu menerima tetamu. Ilmu Maani pula berkisar ayat-ayat yang diubahsuai mengikut konteks dan target pendengar. Seperti contoh مُحَمَّدٌ قَادِمٌ diucapkan kepada خالِي الذهن, manakala إِنَّ مُحَمَّدٌ قَادِمٌ diucapkan kepada golongan مُتَرَدِِّد, dan ayat  إِنَّ مُحَمَّدٌ لَقَادِمٌ diucapkan bagi golongan مُنكِر. Terdapat juga situasi ketika mana berlaku keadaan ayat diubahsuai bagi memberikan makna berlainan seperti القصر (نعبدك – إياك نعبد) dan التقديم والتأخير (أأكلت؟ – أأنت أكلت). Bagi Ilmu Badi’ pula, ayat-ayat diubahsuai bagi tujuan kecantikan seperti contoh السجع؛ رَحِمَ اللَّهُ عَبْدًا خَيْرًا فَغَنِمَ أَوْ سَكَتَ فَسَلِمَ dan الجناس؛ وَيَوْمَ تَقُومُ السَّاعَةُ يُقْسِمُ الْمُجْرِمُونَ مَا لَبِثُوا غَيْرُ سَاعَةٍ.  

Sebagai ulang kaji tentang apa yang dipelajari di atas, Ilmu Aswat adalah berkenaan makhraj dan sifat huruf, bagaimana ia dilontarkan. Ilmu Sorof pula adalah bagaimana kita membina perkataan, yakni menukar perkataan asal kepada beberapa perkataan baharu yang lain. Ilmu Nahu, bagaimana kita ingin menyusun perkataan itu antara satu sama lain sehingga mewujudkan makna yang sempurna dan tepat baris akhirnya. Ilmu balaghah lebih tinggi dari sudut tahap kesukaran kerana ia memerlukan banyak mufradat dan kosa kata. Kesimpulannya, kesemua ilmu ini perlu didahulukan dengan mempelajari Ilmu Aswat, kemudian Ilmu Sorof dan Ilmu Nahu kedua-duanya perlu digandingkan sekali, kemudian barulah Ilmu Balaghah.